mutakhir

Pembenihan awan lancar hari ini

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

JABATAN Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjalankan operasi pembenihan awan (OPA) di Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka, hari ini.

Ketua Pengarahnya, Jailan Simon berkata, OPA mendapat kerjasama daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Menurutnya, OPA yang dijalankan berjalan lancar di kawasan yang disasarkan MetMalaysia.

“Pesawat TUDM dari Pangkalan Udara Subang bergerak pada 12.30 tengah hari menuju kawasan fokus operasi pembenihan awan.

“Hujan dilaporkan di Cheras, Bangsar, Petaling, Kuala Selangor, Hulu Langat, Klang, Gombak, Seremban, Tampin, Jelebu, Alor Gajah dan Jasin walaupun tidak menyeluruh seperti yang dijangka,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, OPA hari ini berdepan sedikit kesukaran untuk mendapatkan kebenaran menggunakan ruang udara ekoran aliran trafik yang sibuk di kawasan fokus.

Katanya, pasukan OPA mendarat semula di Pangkalan Udara Subang 3.05 petang.

OPA dijalankan hari ini bagi mengurangkan kesan jerebu yang berlaku sejak awal minggu ini.

Disiarkan pada: September 16, 2019 @ 6:23pm
d