mutakhir

100 lelaki, wanita bertengkolok jadi tumpuan

Oleh Garret Dawum

KEHADIRAN 100 lelaki serta wanita bertengkolok dan lengkap berpakaian Melayu menarik perhatian mereka yang menghadiri sambutan Hari Malaysia 2019 di Stadium Perpaduan, Kuching malam ini.

Kumpulan berkenaan yang menamakan diri mereka sebagai ahli Persatuan Kesenian dan Warisan Melayu Kuching (KEWARISMA) antara peserta sambutan yang akan membuat persembahan.

Timbalan Pengerusi KEWARISMA, Mohamad Abdul Rahman Adenan, 56, berkata, sempena dengan Hari Malaysia mereka mengenakan tanjak dan lengkap berpakaian Melayu sebagai usaha menjaga serta melestarikan kesenian dan warisan Melayu yang ada di Sarawak.

“Kami ingin menampilkan kepada orang ramai betapa tingginya nilai tradisi Melayu di Sarawak khususnya dari segi pakaian.

“Budaya Melayu di Sarawak juga istimewa dan unik dari segi tarian serta muzik, selain seni silat,” katanya.

Menurutnya, KEWARISMA antara kumpulan yang aktif bergerak di Sarawak dalam melahirkan generasi masa depan yang celik seni dan budaya Melayu Sarawak.

“Pada malam ini, semua ahli berusia antara 18 hingga 70 tahun,” katanya.

Dianggarkan 8,000 orang membanjiri Stadium Perpaduan untuk sambutan Hari Malaysia 2019 yang dihadiri ramai pemimpin negara.

Disiarkan pada: September 16, 2019 @ 9:13pm
d