mutakhir

Lelaki ditahan kes lempar cat ke masjid

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

LELAKI berusia 30-an ditahan hari ini selepas disyaki individu bertanggungjawab melempar cat ke arah dua masjid di Taman Daya, Johor Bahru awal Januari lalu dan semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, lelaki yang tidak bekerja itu ditahan 3.17 pagi tadi di sebuah taman perumahan berhampiran Taman Daya di sini.

“Kita sudah menahan lelaki yang disyaki terbabit dalam kes melempar cat merah ke masjid dan surau.

“Polis juga merampas Honda Accord hitam dan sehelai kemeja-T merah dan kelabu yang digunakan suspek ketika melakukan jenayah itu untuk siasatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, hasil tangkapan itu, dua kes melempar cat merah ke rumah ibadat yang dilaporkan sebelum ini di Taman Daya iaitu membabitkan Masjid As Sobirin 1 Januari lalu dan Surau Al Hidayah semalam, berjaya diselesaikan.

Katanya, hasil semakan, suspek mempunyai rekod sebagai pesakit psikiatri di Hospital Permai dan ujian saringan awal air kencing terhadap suspek juga mendapati dia positif dadah Methamphetamine.

“Suspek juga mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan Seksyen 427 Kanun Keseksaan pada 2017,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan iaitu mencemarkan tempat sembahyang dengan niat hendak mengaibkan agama mana-mana golongan.

Disiarkan pada: September 16, 2019 @ 11:29pm
d