mutakhir

Pelajar tahfiz diliwat

Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

HARAPAN seorang ibu ingin melihat anak lelakinya berjaya dalam ilmu pengajian Islam dan al-Quran musnah selepas anaknya menjadi mangsa liwat beberapa pelajar di sebuah pusat tahfiz di Beserah, dekat Kuantan, sejak beberapa bulan lalu.

Kejadian diketahui ibu mangsa selepas menyedari kelakuan anaknya yang berusia 11 tahun mula berubah.

Anaknya kemudian menceritakan kejadian itu selepas dipaksa oleh ibunya untuk berbuat demikian.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, berdasarkan keterangan mangsa, dia mengaku pernah diliwat beberapa kali oleh rakan sebiliknya.

“Mangsa memaklumkan mula diliwat sejak April lalu dan kejadian berlaku pada awal pagi. Mangsa juga dikatakan takut dengan beberapa rakannya hingga menyebabkan dia tidak menceritakan kejadian itu kepada warden dan ibu bapanya.

“Bagaimanapun selepas mangsa berhenti belajar di sekolah itu pada bulan lalu kejadian itu terbongkar sebelum ibu mangsa membuat laporan di Balai Polis Beserah pada Jumaat lalu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohamad Noor berkata, hasil maklumat, pihaknya menahan tiga remaja lelaki berusia antara 15 hingga 17 tahun di sekitar daerah Kuantan, pada hari sama ibu mangsa membuat laporan.

Beliau berkata, semua mereka direman bagi membantu siasatan berhubung laporan yang diterima pihaknya.

Katanya, mangsa juga akan menjalani pemeriksaan perubatan dan keterangannya akan diambil bagi melengkapkan siasatan.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 377C dan Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017,” katanya.

Disiarkan pada: September 17, 2019 @ 10:37am
d