mutakhir

Lelaki Myanmar bunuh rakan dalam buruan

Oleh Farah Suhaidah Othman

POLIS memburu lelaki Myanmar dipercayai terbabit dalam kes pembunuhan rakan senegara yang ditemui di pelantar ikan dekat Jalan Hujung Pasir, Pantai Remis, Ahad lalu.

Mayat warga asing itu ditemui orang awam pada 3.10 pagi dalam keadaan terlentang, berlumuran darah dan parah di kepala dipercayai dipukul dengan objek tumpul.

Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Lim Hong Shuan berkata, buat masa ini identiti mangsa belum dapat dikenal pasti dan usaha mengesan rakan senegaranya giat dilakukan.

Katanya, percaya lelaki itu terbabit dalam pembunuhan berkenaan berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di pelantar berkenaan.

“Siasatan turut mendapati mangsa dan suspek baru dua bulan bekerja di pelantar berkenaan dan dipercayai tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan pelepasan konvoi Latihan Dalam Perkhidmatan (LDP) Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Perak di pekarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di Ipoh, hari ini.

Lim berkata, motif sebenar kejadian masih dalam siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Terdahulu, berucap pada program itu, katanya, 17 pegawai dan 52 anggota lain-lain pangkat JSPT Perak menjalani latihan meningkatkan pengukuhan motosikal berat dari Ipoh ke Terengganu.

“Dalam situasi jerebu ini, saya menasihati peserta konvoi supaya memakai topeng muka bagi mengelak masalah kesihatan sepanjang perjalanan sejauh 882 kilometer itu,” katanya.

Sementara itu, Ketua JSPT Perak Superintendan Zakaria Abd Rahman berkata, latihan berkenaan bagi meningkatkan penugasan pengiring yang bermula hari ini dan berakhir pada 19 September.

Disiarkan pada: September 17, 2019 @ 11:36am
d