mutakhir

Melambai-lambai minta tolong...

Oleh Norasikin Daineh

AKTIVITI riadah tiga beradik mandi di sungai bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka dikhuatiri lemas dalam kejadian di Sungai Bengkoka, Kampung Dandun Pusat, dekat Pitas, semalam.

Dalam kejadian 1.30 tengah hari itu, Kasnil Saak, 19, masih belum ditemui.

Menurut seorang ahli keluarga, Jatiah Majinin, 30, dia difahamkan, tiga beradik itu mandi di sungai berkenaan, namun seorang daripada mereka tiba-tiba hilang.

“Saya menerima maklumat kira-kira 2 petang bahawa adik bongsu mereka lemas ketika mandi di sungai berkenaan yang terletak kira-kira 20 minit dari rumah mereka.

“Menurut abang mangsa, ketika sedang mandi, mangsa tiba-tiba hilang dari pandangan dan apabila menoleh ke belakang, hanya jari mangsa timbul serta melambai-lambai seperti meminta tolong sebelum terus tenggelam.

“Abangnya cuba menyelamatkannya, namun tidak berjaya. Mereka balik ke rumah dan memaklumkan kejadian kepada bapa serta penduduk kampung,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya lagi, ada satu lokasi di sungai itu di mana paras airnya lebih dalam berbanding kawasan lain.

“Usaha mencari mangsa dilakukan sejak semalam sehingga tengah malam oleh penduduk kampung dan ahli keluarga.

“Hari ini pun, usaha diteruskan termasuk bantuan daripada pasukan bomba dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM),” katanya.

Sementara itu, jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 2.04 petang, semalam.

“SAR dijalankan bermula semalam dan disambung pagi tadi untuk mencari mangsa,” katanya.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Kota Marudu Superintendan Mohd Izaan Abdullah mengesahkan menerima laporan kejadian.

Disiarkan pada: September 17, 2019 @ 12:59pm
d