mutakhir

Tak mudah selesaikan masalah Malaysia Airlines

Oleh BERNAMA

KERAJAAN masih mencari penyelesaian bagi Malaysia Airlines Bhd yang berdepan masalah, yang majoritinya milik Khazanah Nasional Bhd, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Ia bukan mudah… kami telah berbuat banyak. Kerajaan terdahulu memberikan mereka RM6 bilion dan memecat 6,000 orang, dan selain itu, mengurangkan jumlah penerbangan.

“Jadi, jika anda kurangkan tenaga kerja dan jumlah penerbangan, nisbah antara tenaga kerja dan aktiviti tidak berubah,” katanya dalam temubual dengan stesen radio BFM, hari ini.

Dr Mahathir berkata, terdapat laporan bahawa beberapa syarikat mungkin mengambil alih kepentingan dalam Malaysia Airlines, tetapi menurutnya, juga terdapat pihak yang bersikap amat sentimental dan mahu melihat syarikat itu dimiliki sepenuhnya oleh Malaysia.

“Tetapi, tidak terdapat pelabur Malaysia yang cukup mantap untuk mengambil alihnya,” jelas beliau.

Ketika ditanya bila tarikh akhir ditetapkan kerajaan untuk membuat keputusan mengenai nasib Malaysia Airlines dan sekiranya ia akan mengguna pakai strategi Proton Holdings Bhd yang menjual kepentingan kepada syarikat China, Zhejiang Geely Holding Group, beliau mengulangi bahawa ia bukan mudah.

“Seperti yang anda tahu, Malaysia Airlines telah menjalani banyak perubahan, termasuk perubahan dalam pengurusan dan memecat 6,000 pekerja… namun kerugian kekal tinggi,” kata Dr Mahathir.

Perdana menteri turut mengambil perhatian bahawa apabila syarikat penerbangan kebangsaan itu ditubuhkan, tiada syarikat penerbangan tambang rendah, tetapi kini sudah ada.

Ini katanya, menjejaskan bukan sahaja Malaysia Airlines, tetapi juga banyak yang lain.

Sementara itu, pada hujung minggu lalu, sebuah akhbar perniagaan harian melaporkan Japan Airlines mungkin mengambil alih kepentingan dalam Malaysia Airlines.

Terdahulu, dalam temu bual itu, Dr Mahathir juga berkata, kerajaan sedang mengkaji untuk menjual hartanah tidak penting di dalam dan luar negara, satu langkah untuk membayar hutang yang Pakatan Harapan warisi daripada kerajaan terdahulu.

“Kami perlu cari harga yang baik. Kami ada hartanah di Hong Kong, Singapura dan negara lain, bukan sahaja di tanah air,” katanya.

Disiarkan pada: September 17, 2019 @ 1:31pm
d