mutakhir

Jerebu: Pesakit mata meningkat

Oleh Siti A’isyah Sukaimi

KIRA-KIRA 20 hingga 30 peratus peningkatan membabitkan pesakit luar direkodkan bagi kes mata kering dan alergi konjungtivitis di fasiliti Kementerian Kesihatan susulan jerebu melanda negara.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, perkhidmatan di hospital dan klinik Kementerian Kesihatan sentiasa bersiap siaga dalam menangani sebarang peningkatan mendadak akibat situasi semasa ini.

“Yang penting fasiliti kesihatan khususnya di klinik kita bersiap siaga dalam menangani sebarang kes peningkatan mendadak akibat jerebu jadi, kami bersedia.

“Dari semasa ke semasa, Ketua Pengarah Kesihatan juga akan membuat ‘komunikasi’ di dalam Facebook atau kenyataan akhbar (susulan jerebu),” katanya pada sidang media pelancaran Hari Keselamatan Pesakit Sedunia Yang Pertama dan Seminar Keselamatan Pesakit ‘Bersuara Demi Keselamatan Pesakit’ di Putrajaya, hari ini.

Dalam pada itu, Ketua Perkhidmatan Oftalmologi Kementerian Kesihatan, Dr Nor Fariza Ngah berkata, peningkatan pesakit berkenaan membabitkan 42 fasiliti Kementerian Kesihatan yang menyediakan perkhidmatan mata di seluruh negara.

“Keadaan yang berjerebu ini menyebabkan bertambahnya pesakit di perkhidmatan oftalmologi dan kebanyakannya seperti alergi konjungtivitis yang tidak berjangkit tetapi menyebabkan ketidakselesaan seperti mata merah dan berair malah kes mata kering meningkat.

“Berikutan itu, kita menasihatkan pesakit iaitu mengurangkan pendedahan di luar selain menggunakan ubat air mata buatan,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr Nor Fariza berkata, pesakit yang mempunyai alergi lebih cenderung mengalami masalah berkenaan misalnya penyakit asma dan alergi rhinitis manakala usia pesakit terbabit daripada kanak-kanak hingga dewasa.

Disiarkan pada: September 17, 2019 @ 2:14pm
d