mutakhir

Lu bukan anak wa lagi...

Oleh Ibrahim Isa

TIDAK tahan menanggung hutang anak hampir RM100,000 dipinjam daripada Ah Long, pasangan suami isteri yang juga peniaga terpaksa memutuskan hubungan keluarga bagi mengelak masalah berlarutan.

Selain tidak sanggup menanggung beban hutang ditinggalkan, pasangan berkenaan terpaksa berbuat demikian selepas memikirkan keselamatan dua anak masih bersekolah dan tinggal bersama mereka.

Peniaga hanya mahu dikenali sebagai Chua, 46, berkata masalah itu terbongkar apabila dia menerima banyak panggilan telefon selain notis ugutan meminta melunaskan hutang Ah Long sejak Ogos tahun lalu.

Katanya, terkejut dengan panggilan itu, dia dan isteri bersemuka dengan anak lelakinya berusia 21 tahun sebelum mengaku ada meminjam Ah Long untuk menjadi penjamin.

Menurutnya, difahamkan hanya meminjam dalam jumlah sedikit namun bertambah akibat kadar faedah tinggi, sebelum terpaksa meminjam kepada kira-kira 20 Ah Long.

“Kami difahamkan jumlah pinjaman mencecah RM40,000 dan disebabkan sayang kepada anak serta berpendapat ia adalah kesalahan pertama, saya dan isteri cuba menyelesaikan hutang awal bermula RM1,500 hingga RM6,000.

“Sehingga kini, kami tidak tahu dia buat apa dengan duit itu, semuanya samar sebab dia juga tidak bercerita dengan kami kecuali mendakwa menjadi penjamin. Hutang semakin hari semakin bertambah sehingga kami tidak tahu bagaimana mahu menyelesaikannya dan terpaksa meminjam keluarga terdekat.

“Sejak awal membuat pembayaran, kami sudah menghabiskan kira-kira RM80,000 dan semua hutang selesai penghujung tahun lalu. Pada masa sama, anak yang mendakwa malu dengan tindakannya itu ke Singapura untuk bekerja,” katanya pada sidang media di Pejabat Ketua Biro Aduan Awam MCA Johor, Michael Tay di Johor Bahru, hari ini.

Bagaimanapun, katanya, awal bulan ini mereka diganggu semula dengan menerima notis mengatakan anak meminjam wang dan sekiranya tidak dijelaskan, mereka mengugut akan mengapa-apakan dirinya, isteri serta dua anak lain berusia belasan tahun.

Katanya, dia difahamkan anaknya itu meminjam RM15,000, namun tidak dapat tahu jumlah sebenar kerana anak lelakinya sudah tidak pulang ke rumah hampir setahun lalu sejak bekerja di Singapura.

“Memang benar kami ada bertengkar dan kami marah dengan perbuatannya itu. Anak buat salah memanglah kami tegur dan marah, selepas itu dia terus keluar rumah dan hampir setahun tidak pulang.

“Baru-baru ini, isteri saya ada hubungi syarikat dia bekerja di Singapura dan kami dimaklumkan anak ditahan di penjara kerana kesalahan hutang,” katanya.

Katanya, beberapa Ah Long yang hubungi kami tahu mengenai perkara itu namun masih mengganggu kami dan mengugut supaya kami jelaskan hutang.

“Kami kecewa dan tidak boleh nak tanggung lagi, jika mahu juga carilah dia, kami sudah tiada apa-apa. Memang kami sayang anak, tetapi kami perlu fikirkan keselamatan dua adiknya yang masih bersekolah,” katanya.

Menurutnya, disebabkan menjelaskan hutang RM80,000, dia dan isteri kehabisan wang simpanan hingga terpaksa berhutang dengan keluarga terdekat.

Katanya, dia dan isteri tidak dapat menjalankan perniagaan kerana Ah Long mengganggu tempat kerja menyebabkan pendapatan mereka terjejas.

Sementara itu, Michael berkata, pihaknya akan membantu berurusan dengan semua Ah Long terbabit supaya tidak mengganggu keluarga berkenaan kerana anak mereka yang berhutang, bukan ibu bapa lelaki itu.

Pada masa sama, Michael berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) diharap dapat menjalankan siasatan dan menahan kumpulan Ah Long yang mengganggu gugat ketenteraman peminjam berkenaan.

Disiarkan pada: September 17, 2019 @ 3:08pm
d