mutakhir

Tak perlu ganti cuti

Oleh Siti A’isyah Sukaimi

SESI persekolahan membabitkan 25 sekolah di Putrajaya yang ditutup susulan tahap indeks pencemaran udara (IPU) sangat tidak sihat tidak perlu diganti.

Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya Farizah Ahmad berkata, makluman berhubung keputusan penutupan sekolah berikutan IPU melebihi 200 itu dibuat 12 jam sebelum sesi pembelajaran bermula.

“Buat masa ini, mengikut prosedur operasi standard (SOP) kementerian, kena mesti 12 jam sebelum iaitu pada 7 malam.

“Kita akan memaklumkannya menerusi kumpulan aplikasi WhatsApp sekolah yang diwujudkan antara guru dan ibu bapa,” katanya di majlis penyerahan sumbangan 40,000 penutup hidung kepada Sekolah-Sekolah Wilayah Persekutuan Putrajaya di Sekolah Alam Shah hari ini.

Beliau berkata, pengumuman 12 jam sebelum sesi pembelajaran di kawasan Putrajaya juga tidak berdepan dengan masalah kerana sekolah berdekatan dengan rumah.

Selain itu, Farizah berkata, semua aktiviti luar kelas termasuk kegiatan sukan juga tidak dibenarkan sehinggalah bacaan IPU kurang 100.

“Setakat ini, kami terima laporan pelajar terjejas akibat jerebu, namun ia tidak kronik dan hanya mengalami masalah pernafasan biasa.

“Mengikut SOP kita, jika pelajar menghadapi masalah kesihatan, kita akan menghubungi ibu bapa untuk memohon kebenaran mereka bagi membawa anak ke klinik atau ibu bapa datang ke sekolah dan membawa anak mereka,” katanya.

Disiarkan pada: September 17, 2019 @ 6:27pm
d