mutakhir

Global Royalty diarah bayar deposit jaminan kos

Oleh Murni Wan Omar

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan syarikat pemborong barangan kemas dari Lubnan, Global Royalty Trading SAL (Global Royalty) membayar RM75,000 sebagai jaminan kos bagi kes saman yang dikemukakan terhadap Datin Seri Rosmah Mansor.

Peguam Datuk Geethan Ram Vincent yang mewakili Rosmah berkata, Hakim Wong Chee Lin membuat keputusan itu di dalam kamarnya selepas selesai mendengar hujah kedua-dua pihak.

Menurutnya, Global Royalty diperintahkan mendepositkan wang itu kepada mahkamah sebelum atau pada 11 Oktober ini.

“Sebelum ini Rosmah memohon jaminan kos RM500,000 dikenakan kepada Global Royalty kerana entiti itu adalah syarikat asing dan tidak mempunyai aset di Malaysia.

“Syarikat itu tidak mengemukakan sebarang bantahan terhadap permohonan itu.

“Kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan saman terhadap anak guam saya dibatalkan,” katanya.

Geethan berkata, permohonan mereka untuk mendapatkan pakar bagi mengesahkan barang kemas yang disita untuk dilucuthakkan oleh mahkamah, juga dibenarkan.

“Permohonan itu dibenarkan selepas mahkamah mendapati terdapat ketidakpastian berhubung jumlah barang kemas.

“Pihak plaintif (Global Royalty) mendakwa hanya empat barang kemas mereka berada dalam milikan polis, manakala kerajaan pula mendakwa hanya ada satu, Ketua Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) pula berkata semua barang kemas ada, manakala notis warta pula mendakwa hanya 11,000 barang kemas disita sedangkan lebih 12,000 dirampas oleh polis,” katanya.

Rosmah turut diwakili peguam Rajivan Nambiar, Reza Rahim, Datuk K Kumaraendran dan K Lavinia.

Sementara itu, Rajivan berkata, barang kemas itu semua kini berada dalam simpanan Bank Negara Malaysia (BNM).

“Ia tertakluk kepada persetujuan BNM kerana mereka ada menyatakan kebimbangan berhubung ancaman keselamatan kerana barangan kemas itu disimpan di dalam peti besi.

“Jika BNM kata ia ok dan boleh dilakukan, pemeriksaan akan dilakukan,” katanya.

Peguam Datuk David Gurupatham yang mewakili Global Royalty ketika ditemui berkata, pihaknya menghujahkan bahawa jumlah yang dimohon Rosmah itu tidak berpatutan.

Menurutnya, jika mereka menang, pihaknya akan memperoleh semula wang itu dan jika kalah wang itu akan diberikan kepada Rosmah sebagai kos guaman.

Pada 26 Jun 2018, Global Royalty selaku plaintif menyaman Rosmah selaku defendan dengan menuntut beliau memulangkan 44 unit barang kemas yang dihantar kepadanya untuk dipilih atau membayar harga untuk semua barangan kemas berkenaan berjumlah AS$14.79 juta atau hampir RM60 juta.

Dalam pernyataan tuntutannya, Global Royalty, pemborong barang kemas antarabangsa mendakwa Rosmah sudah lama menjadi pelanggan tetapnya dan firma itu akan menghantar konsaimen barang kemas kepadanya atas permintaan beliau.

Defendan ada mengesahkan dan mengakui penerimaan barang itu melalui surat bertarikh 22 Mei lalu.

Plaintif mendakwa, defendan juga mengesahkan secara bertulis bahawa barang itu sudah disita pihak berkuasa Malaysia.

Oleh itu plaintif memohon deklarasi bahawa mereka adalah pemilik barang kemas itu menurut undang-undang.

Sementara itu, Rosmah mendakwa semua barangan kemas yang dituntut itu hanya dihantar untuk diperlihatkan bagi pertimbangan dan tiada pembelian dilakukan.

Disiarkan pada: September 17, 2019 @ 6:51pm
d