mutakhir

14 hektar hutan terbakar

Oleh Ibrahim Isa

ANGGOTA Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor berjaya memadamkan kebakaran 14 hektar kawasan hutan di Jalan Mega 1, Taman Perindustrian Nusa Cemerlang, Nusajaya sejak 10 pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Skudai, Mohamad Riduan Akhyar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 10.32 pagi dan lima anggota BBP Skudai serta tujuh anggota BBP Pekan Nenas dikejarkan ke lokasi.

Katanya, pada mulanya pihaknya mengesan kebakaran di kawasan seluas lapan hektar namun tiupan angin menyebabkan api merebak pantas ke kawasan seluas 14 hektar.

“Antara kesukaran dihadapi kebakaran di kawasan seluas 14 hektar itu berlaku di banyak lokasi serentak.

“Selain itu, faktor cuaca panas, kering dan berangin menyebabkan api mudah merebak.

“Alhamdulillah, semua kawasan terbakar berjaya dipadamkan dan kami memfokuskan pemadaman di kawasan berhampiran lebuh raya bagi mengelak gangguan pemandangan pemandu hingga membahayakan keselamatan mereka,” katanya.

Menurutnya, sehingga kini operasi masih diteruskan.

Disiarkan pada: September 17, 2019 @ 6:54pm
d