mutakhir

Adik-adik, esok pergi sekolah ye... [METROTV]

Oleh Siti A’isyah Sukaimi

SEBANYAK 25 sekolah di Putrajaya yang ditutup susulan tahap Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 200, hari ini, kembali beroperasi seperti biasa esok.

Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya, Farizah Ahmad berkata, bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) stesen Putrajaya pada jam 6 petang, hari ini, menunjukkan di bawah 200 dengan trend bacaan semakin menurun.

“Sebarang perubahan atau maklumat terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

“Pihak sekolah diingatkan supaya mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dan mengutamakan kesihatan murid dan guru sepanjang masa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jumlah 25 sekolah di Putrajaya membabitkan 11 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) dan 14 Sekolah Kebangsaan (SK).

Berdasarkan bacaan dipaparkan laman web http://apims.doe.gov.my, Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), sehingga jam 7 petang tahap IPU di stesen Putrajaya menunjukkan 179.

Disiarkan pada: September 17, 2019 @ 8:11pm
d