mutakhir

67 penyu ditemui mati tahun ini

Oleh Rosli Ilham

SEBANYAK 67 penyu ditemui mati di Terengganu dalam tempoh Januari hingga Ogos tahun ini.

Pengarah Jabatan Perikanan Terengganu, Zawawi Ali berkata, jumlah itu meningkat berbanding 55 penyu ditemui mati sepanjang tahun lalu.

“Kami dapati kematian penyu terbabit dikenal pasti akibat terkena kipas bot dan alat menangkap ikan selain sebab lain.

“Sepanjang tahun lalu, kira-kira 300,000 anak penyu dilepaskan di perairan Terengganu,” katanya pada program melepaskan 2,000 anak penyu anjuran Majlis Perbandaran Dungun (MPD) di Pantai Rantau Abang, Dungun, semalam.

Program terbabit dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun. Hadir sama, ADUN Sura, Wan Hapandi Wan Nik dan Yang Dipertua MPD, Lizan Che Mat.

Zawawi berkata, sebanyak sembilan penyu sakit berjaya diselamatkan dari Januari hingga Ogos tahun ini.

Beliau berkata, pada tahun lalu pihaknya menyelamatkan 18 penyu sakit dan kebanyakan penyu itu cedera terkena pukat nelayan, kipas bot dan tertelan plastik.

Katanya, semua penyu itu dirawat di Pusat Konservasi Penerangan Penyu (FRI), Rantau Abang sebelum dilepaskan semula ke laut.

“Sepanjang tahun lalu, sebanyak 3,815 penyu bertelur di negeri ini dengan mengeluarkan 324,322 telur dan menetaskan 254,237 anak.

“Sepanjang tahun lalu, sebanyak 180 tuntung laut mendarat dengan mengeluarkan 1,864 telur dan melahirkan 951 anak,” katanya.

Disiarkan pada: September 17, 2019 @ 10:15pm
d