mutakhir

Penutup hidung dan mulut di pejabat daerah, ADUN

Oleh BERNAMA

SEKOLAH di Selangor yang memerlukan penutup hidung dan mulut boleh mendapatkannya di semua pejabat daerah dan pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor dalam satu kenyataan berkata, setakat ini 500,000 unit penutup hidung dan mulut diterima daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan sudah diedarkan ke sekolah sekitar negeri itu menerusi Pejabat Pendidikan Daerah.

“Sekolah yang memerlukan penutup hidung dan mulut untuk pelajar susulan keadaan jerebu yang melanda negara, boleh berbuat demikian dengan berhubung pejabat daerah dan ADUN.

“Orang ramai juga dinasihatkan memakai penutup hidung dan mulut, minum air banyak dan hadkan aktiviti luar sebagai langkah memastikan tahap kesihatan kekal optimum,” kata kenyataan itu.

Menurutnya, pembakaran terbuka dan aktiviti pembinaan yang menyumbang kepada jerebu di negeri itu akan diarahkan padam serta ditutup serta merta oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Disiarkan pada: September 17, 2019 @ 10:17pm
d