mutakhir

Jerebu: Semua sekolah di Putrajaya masih ditutup

Oleh Siti A'isyah Sukaimi

SEBANYAK 25 sekolah di Putrajaya masih ditutup, hari ini, susulan tahap Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencecah 200 mulai jam 6 pagi hari ini.

Perkara berkenaan dimaklumkan oleh Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya, Farizah Ahmad menerusi kenyataan ringkas pada pagi ini.

Sebelum ini, beliau memaklumkan 25 sekolah di Putrajaya akan beroperasi seperti biasa hari ini selepas bacaan IPU stesen Putrajaya pada jam 6 petang semalam menunjukkan di bawah 200 dengan trend bacaan semakin menurun.

Semalam, semua 25 sekolah berkenaan ditutup berikutan IPU melebihi 200.

Bagaimanapun, bacaan IPU itu kembali meningkat sejak 3 pagi tadi iaitu 192 dan mencecah bacaan 202 pada 7 pagi.

Ini adalah hari kedua sekolah-sekolah di Putrajaya ditutup berikutan jerebu yang melanda negara sejak 5 September lalu.

Jumlah 25 sekolah itu membabitkan 11 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) dan 14 Sekolah Kebangsaan (SK).

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya.

Disiarkan pada: September 18, 2019 @ 8:38am
d