mutakhir

Istana Negara mempertikaikan kehadiran Jho Low

Oleh Nasharuddin Muhammad dan Murni Wan Omar

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur diberitahu bahawa wakil Istana Negara mula mempersoalkan kehadiran ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho Low dalam mesyuarat Lembaga Pelaburan Terengganu atau (TIA).

Perkara itu disahkan oleh bekas pegawai khas, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin, 43, ketika menjawab soalan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dalam prosiding bicara kes skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan bekas Perdana Menteri.

Muhammad Shafee merujuk kepada dokumen membabitkan mesyuarat berhubung TIA bertarikh 30 Jun 2009 di banguan Parlimen di Kuala Lumpur yang turut dihadiri wakil dari Menteri Besar Diperbadankan (MBI) Terengganu dan wakil dari Yang di-Pertuan Agong ke-13 (ketika itu) Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.

SHAFEE: Mohon kamu rujuk kepada pandangan Istana Negara ketika itu yang tercatat ‘Wakil Istana mempersoalkan kehadiran Jho Low dalam mesyuarat TIA dan bimbang dia menyalah guna nama Sultan Terengganu ketika itu’

AMHARI: Ya.

SHAFEE: Ada kamu beri sebarang pandangan dalam mesyuarat ini?

AMHARI: Tidak

SHAFEE: Kenapa kamu tidak berbuat demikian sedangkan kamu satu-satunya wakil dari Pejabat Perdana Menteri yang mewakili Najib yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri?

AMHARI: Ketika penubuhan TIA saya masih baru dan kehadiran saya dalam mesyuarat ketika itu adalah untuk menunjukkan bahawa ia berada dalam maklumat Timbalan Perdana Menteri ketika itu. Peranan saya minima kerana terlalu baru. Saya pernah menghadiri mesyuarat berkaitan dan semua saya tidak beri komen. Saya tidak layak untuk bercakap sebab itu selepas itu Ketua Setiausaha Sulit Najib, arwah Datuk Seri Azlin Alias mengambil alih tugas itu.

SHAFEE: Tetapi ketika itu kamu lihat Jho Low hadir dalam mesyuarat?

AMHARI: Ya.

SHAFEE: Nampak Jho Low mengambil bahagian dalam mesyuarat itu?

AMHARI: Ketika mesyuarat TIA, Jho Low sangat aktif.

SHAFEE: Kenapa kamu tidak memberi pandangan dalam mesyuarat itu? Terdapat larangan untuk bercakap?

AMHARI: Tidak ada larangan. Ketika itu terdapat pegawai lebih kanan membincangkan isu itu.

SHAFEE: Ia tidak pernah dibincangkan dan tidak direkodkan tetapi mereka hanya ‘mengangkat’ isu siapa orang ini? Saya katakan awak sebenarnya sebenarnya gagal menyatakan kebimbangan itu sebagai satu-satunya wakil dari Pejabat Perdana Menteri?

AMHARI: Saya rasa ini adalah amalan biasa. Pegawai lebih kanan akan mengangkat isu ini. Saya rasa sebagai kerajaan mereka faham perkata ini. Ada masa hanya perlu buat pemerhatian dan kembali semula untuk arahan selanjutnya. Saya fikir ini adalah amalan biasa.

SHAFEE: Ini bukan perkara biasa, bagaimana kamu boleh mewakili Pejabat Perdana Menteri apabila kamu tahu bahawa Jho Low salah dan kami tidak membangkitkan isu ini sebaliknya hanya berdiam diri. Kamu terbabit sama dengan salah faham yang dibawa Jho Low ini?

AMHARI: Saya tidak setuju.

SHAFEE: Kamu rapat dengan Jho Low ketika itu sebab itu kamu mendiamkan diri. Kamu sebenarnya melindungi Jho Low?

AMHARI: Saya tidak setuju.

Disiarkan pada: September 18, 2019 @ 11:11am
d