mutakhir

Jerebu: 538 sekolah di Selangor ditutup

Oleh Mohd Hilmie Hussin

SEBANYAK 538 sekolah di Selangor ditutup, hari ini akibat keadaan jerebu yang bertambah buruk.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menerusi satu kenyataan, mengumumkan sekolah terlibat di bawah Pejabat Pendidikan Daerah Petaling Perdana, Klang, Kuala Selangor, Gombak, Hulu Langat, Sepang, Sabak Bernam, Kuala Langat dan Petaling Jaya.

KPM berkata, bacaan indeks pencemaran udara (IPU) di Shah Alam, Putrajaya, Petaling Jaya dan Klang menunjukkan melebihi paras 200 dari 12 tengah malam hingga 6 pagi.

Menurut kenyataan itu, 52 sekolah di Sepang ditutup hari ini, diikuti Hulu Langat (61), Kuala Langat (21), Gombak (23), Petaling Perdana (139), Petaling Utama (86), Kuala Selangor (5), Sabak Bernam (18) dan Klang (133).

Penutupan sekolah di Selangor itu membabitkan 584,595 pelajar yang terjejas.

KPM turut mengumumkan, mana-mana sekolah yang mendapati IPU di kawasan mereka melebihi 200, pihak sekolah diminta mengambil tindakan selaras Surat Siaran KPM untuk menutup sekolah serta merta sehingga cuaca kembali pulih.

Disiarkan pada: September 18, 2019 @ 11:39am
d