mutakhir

Akhirnya 'kantoi' juga...

Oleh Hadzlihady Hassan

HAMPIR tiga bulan hidup ‘bebas’, lelaki yang menyamun dan mencederakan seorang wanita ditahan polis di sebuah rumah di Lebuh Bukit Kecil, Bayan Lepas, dekat Georgetown, malam tadi.

Lelaki berusia 40 tahun terbabit ditahan 12.30 tengah malam dan polis turut merampas pisau yang digunakannya ketika melakukan jenayah berkenaan.

Menurut sumber, lelaki berkenaan sebelum ini diburu selepas dia menyamun dan mencederakan wanita berusia 20-an yang bekerja sebagai juruwang di sebuah kedai serbaneka 24 jam di Batu Lanchang, Jelutong di Georgetown, 30 Jun lalu.

“Dalam kejadian itu, suspek masuk ke dalam premis terbabit dengan memakai topi keledar berpenutup penuh dan mangsa dapat mengecamnya kerana dia pernah menyamun di tempat sama sebelum itu.

“Mangsa kemudian meminta dia menanggalkan topi keledar, namun suspek berdegil dan memaksa wanita terbabit menyerahkan wang,” katanya.

Sumber berkata, mangsa bagaimanapun enggan mengikut arahan serta berlaku pergelutan antara mereka, sebelum suspek mengeluarkan pisau dan mengelar tangan pekerja berkenaan.

“Kejadian itu menyebabkan mangsa terpaksa menerima 30 jahitan di tangan kirinya dan dia kemudian membuat laporan polis berhubung kejadian terbabit.

“Susulan daripada itu, polis memburu suspek dan dia akhirnya berjaya dikesan sebelum ditahan malam tadi,” katanya.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau namun mengaku melakukan sekurang-kurangnya tiga lagi kes samun membabitkan kedai serbaneka 24 jam.

Suspek kini ditahan di lokap Balai Polis Jalan Patani dan akan direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 392/397 Kanun.

Dalam serbuan itu, polis turut merampas motosikal dan juga pakaian yang digunakan suspek ketika melakukan jenayah berkenaan.

Disiarkan pada: September 18, 2019 @ 12:23pm
d