mutakhir

Duda, janda 'lepas gian'

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

SEORANG duda sanggup menempuh perjalanan sejauh 188 kilometer dari Kuala Lumpur untuk bertemu kekasihnya seorang janda dan melepaskan gian dadah bersama di kebun sawit di Changkat Lada, Kampung Gajah, dekat Seri Iskandar, semalam.

Pasangan kekasih itu antara 19 penagih berusia 19 hingga 50 tahun ditahan pihak Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Perak dalam Ops Perdana di beberapa lokasi berasingan di sekitar Kampung Gajah serta Bota bermula 9.30 pagi semalam.

Pengarah AADK Perak Khairul Anwar Ahmad berkata, lelaki berusia 47 tahun bersama teman wanitanya yang juga janda berusia 41 tahun ditahan di kebun sawit milik keluarga wanita terbabit, pada 10 pagi.

Menurutnya, ketika ditahan, pasangan kekasih itu sedang melakukan kerja di kebun dan mereka mengaku baru sejam mengambil dadah.

“Mereka berkenalan dalam program pemulihan anjuran AADK di Dang Wangi, Kuala Lumpur dan ketika itu wanita terbabit menjadi Pembimbing Rakan Sebaya (PRS).

“Lelaki itu tidak berkerja dan dia mendapatkan bekalan dadah daripada teman wanitanya yang sebelum ini sudah tamat pengawasan, namun kembali terjebak dengan dadah,” katanya pada sidang media di Pejabat AADK Perak Tengah di Seri Iskandar, hari ini.

Khairul Anwar berkata, pasangan terbabit yang masing-masing mempunyai dua anak dikesan positif dadah jenis syabu dan morfin.

“Dalam operasi yang dijalankan ini semua tangkapan didapati positif morfin dan syabu serta kita turut menahan dua penagih yang dikehendaki dan mereka cedera ringan di kening serta kaki ketika cuba melarikan diri dalam serbuan di Sungai Galah, Kampung Gajah.

“Seramai 12 tangkapan adalah kes di bawah pengawasan AADK Perak Tengah dan mereka ditahan mengikut Seksyen 6(3) Akta Penagih Dadah 1983 manakala tujuh lagi Seksyen 3(1) akta sama,” katanya.

Menurutnya, operasi itu akan dijalankan sehingga pagi esok dan ia turut mendapat kerjasama pihak FELCRA Berhad.

Disiarkan pada: September 18, 2019 @ 12:37pm
d