mutakhir

Jerebu: 107 sekolah di KL dan Selangor ditutup

Oleh Mohd Hilmie Hussin

SEKOLAH yang berada dalam radius 5 kilometer (km) dari Petaling Jaya diarah tutup, hari ini, selepas bacaan indeks pencemaran udara (IPU) di stesen Petaling Jaya menunjukkan bacaan melebihi 200 (sangat tidak sihat), jam 10 pagi hari ini.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam satu kenyataan memaklumkan 50 sekolah di sekitar daerah itu diarah tutup serta-merta.

Antara sekolah terbabit, Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Bandaraya, SK Bangsar, SK Petaling 1, SK Bukit Pantai, SK Taman Desa, SJK © Confucian, SJK © La Salle, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru Seri Petaling, SMK Seri Saujana, SMK Seri Hartamas dan Sungai Besi.

Ia membabitkan 42,853 murid.

Sementara itu, bacaan di stesen Batu Muda, Kuala Lumpur, sehingga jam 12 tengahari mencecah bacaan 202.

Justeru, 57 sekolah di sekitarnya juga diarah tutup, membabitkan 33,886 pelajar.

Dua lokasi di Pulau Pinang iaitu Balik Pulau dan Minden turut melebihi bacaan 200 apabila masing-masing mencatatkan 242 dan 216 pada jam 12 tengah hari.

Lokasi lain yang melebihi paras 200 12 tengahari tadi termasuk Nilai (Negeri Sembilan) dan Sri Aman (Sarawak).

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategori sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 ke 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (bahaya).

Disiarkan pada: September 18, 2019 @ 1:01pm
d