mutakhir

Rampas lembu di 2 pangkalan haram

Oleh Syaherah Mustafa

PASUKAN Gerakan Am (PGA) merampas 22 lembu seludup bernilai RM83,000 dalam dua serbuan di pangkalan haram di Rantau Panjang.

Kesemua lembu berkenaan diserahkan PGA kepada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Kelantan untuk tindakan lanjut.

Pengarah MAQIS Kelantan Mohd Azam Yahya berkata, serbuan pertama dilakukan oleh PGA Batalion 9 di pangkalan haram Maghribi, Bakong pada Khamis lalu dengan tangkapan 12 lembu bernilai RM48,000.

Menurutnya, satu lagi serbuan dilakukan PGA Batalion 7 di pangkalan haram Wakaf Zin kelmarin dan berjaya menggagalkan cubaan seludup 10 lembu bernilai RM35,000.

“Kesemua lembu yang dirampas itu dipercayai dibawa seludup dari negara jiran dan tidak mempunyai sebarang dokumen import sah daripada MAQIS.

“Kedua-dua kes terbabit akan disiasat di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).

“Perbuatan mengimport lembu tanpa mempunyai permit import sah daripada MAQIS boleh dihukum mengikut Seksyen 11(3) akta yang sama dan jika disabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi 6 tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Azam berkata, kesalahan itu juga boleh dikenakan tindakan kompaun mengikut Peraturan-Peraturan Kuarantin dan Pemeriksaan (Perkompaunan Kesalahan 2019) sehingga RM50,000.

“Akta terbabit ditetapkan bagi memastikan kawalan penyakit haiwan, ikan, tumbuhan dan jaminan keselamatan makanan yang dibawa masuk ke negara ini.

“Selain itu, ia membuktikan kerajaan memandang serius dan mengambil berat terhadap isu yang membabitkan aspek halal, keselamatan makanan, kawalan penyakit dan risiko kemasukan perosak merbahaya serta boleh mengancam industri pertanian dan penternakan negara.

“MAQIS akan sentiasa menjalinkan kerjasama erat dengan agensi keselamatan lain dalam membanteras kemasukan lembu seludup khususnya supaya ia tidak terus berleluasa,” katanya.

Disiarkan pada: September 18, 2019 @ 3:54pm
d