mutakhir

Kolonel hantar gambar aib kepada bekas isteri

Oleh Sarah Zulkifli

SEORANG pegawai tentera berpangkat Kolonel didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya atas tuduhan menghantar gambar mengaibkan kepada bekas isterinya, Februari tahun lalu.

Tertuduh, Nizam Che Ani, 49, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Mohamad Ikhwan Mohd Nasir.

Dia yang berada di dalam kandang tertuduh kelihatan tenang sepanjang prosiding itu.

Mengikut pertuduhan, Nizam didakwa mengaibkan kehormatan dengan tujuan mengganggu kesantunan seorang wanita berusia 44 tahun dengan menghantar gambar separuh bogelnya melalui aplikasi WhatsApp.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah kondominium di Persiaran Surian, PJU 3, Kota Damansara jam 5.26 pagi, 15 Februari 2018.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Hakim Amir Abdul Hamid menawarkan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin.

Tertuduh diwakili peguam Datuk Salehuddin Saidin merayu jaminan dikurangkan kerana anak guamnya bertugas sebagai pegawai tentera dan memberi kerjasama baik sepanjang siasatan.

“Selain itu, kes ini berlaku lebih kurang setahun tujuh bulan lalu apabila pengadu yang juga bekas isterinya melaporkan kes kepada polis, ” katanya.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM3,000 dan 17 Oktober depan ditetapkan sebutan kes.

Disiarkan pada: September 18, 2019 @ 4:03pm
d