mutakhir

Penjara, didenda lupus kucing curi

Oleh Norizuan Shamsuddin

DUA nelayan masing-masing dijatuhi hukuman penjara 14 hari dan denda RM2,000 di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini kerana melupuskan dua kucing Parsi curi.

Kedua tertuduh, Ahmad Al Faziq Nawi, 26, dan Mohamad Hafiz Mohamad, 36, turut berdepan tambahan hukuman penjara satu bulan sekiranya gagal membayar denda terbabit.

Hukuman terbabit dijatuhkan selepas kedua-dua tertuduh dari Kampung Duyung Besar itu mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Noor Mazrinie Mahmood.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa bersama-sama dengan sengaja melupuskan dua anak kucing Parsi yang mana mereka mengetahui haiwan terbabit adalah harta curi.

Perbuatan itu dilakukan oleh tertuduh di KT Aquarium Jalan Sultan Mahmud, Kuala Terengganu pada 10.30 pagi, 9 September lalu.

Dengan itu, kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 414 Kanun dan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang memperuntukkan penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan L Ratna, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Disiarkan pada: September 18, 2019 @ 4:45pm
d