mutakhir

Sekolah di Selangor tutup esok dan lusa

Oleh Siraj Mohd Zaini

SEMUA sekolah awam dan swasta di Selangor diarahkan tutup dua hari sehingga Jumaat ini berikutan jerebu yang melanda negeri itu.

Jawatankuasa Pengurusan Bantuan dan Bencana Selangor dalam kenyataannya berkata, semua sesi persekolahan pada 19 dan 20 September ini ditangguhkan.

“Pendedahan terhadap jerebu yang berpanjangan akan meningkatkan risiko terhadap kesihatan terutama kepada golongan berisiko tinggi seperti kanak-kanak, warga emas, pesakit jantung dan paru-paru serta wanita mengandung.

“Arahan ini dikeluarkan selepas mengambil kira tahap pendedahan yang berpanjangan boleh menyebabkan masalah sistem respiratori dan keselamatan pelajar.

“Jabatan Pendidikan Negeri Selangor dan Pejabat Pendidikan Daerah hendaklah memaklumkan kepada sekolah dan ibu bapa di kawasan masing-masing mengenai penutupan ini segera,” katanya.

Menurut kenyataan itu, penutupan sementara sekolah akibat cuaca jerebu ini adalah untuk memastikan tahap kesihatan murid tidak terjejas.

Katanya, Kerajaan Selangor sentiasa memantau perkembangan kualiti udara dan sentiasa berhubung dengan semua Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) berkaitan tindakan dan langkah yang perlu diambil ketika cuaca negara sedang dilanda bencana jerebu.

Disiarkan pada: September 18, 2019 @ 6:29pm
d