mutakhir

Dua penjenayah ahli Geng 08 [METROTV]

Oleh Siraj Mohd Zaini

DUA daripada tiga penjenayah yang maut selepas berbalas tembakan dengan polis di Jalan Rawang menghala ke Batu Arang, Sabtu lalu, adalah ahli kumpulan kongsi gelap Geng 08.

Ketua Polis Selangor Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, dua lelaki berkenaan dikenali G Thavaselvan, 31, dan S G Mahendran, 23, serta semakan mendapati mereka mempunyai rekod lampau berkaitan samun di Selangor dan Kuala Lumpur.

Menurutnya, seorang lagi lelaki warga Sri Lanka yang maut dalam kejadian berkenaan dikenali sebagai J Vijayaratnam, 40, dan turut mempunyai satu rekod lampau berkaitan samun di Sentul, Kuala Lumpur.

“Thavaselvan mempunyai 23 rekod lampau berkaitan samun dan lain-lain kes jenayah selain turut berada dalam senarai dikehendaki oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor manakala Mahendran dan Vijayaratnam masing-masing satu rekod jenayah samun di Sentul.

“Vijayaratnam pernah dikesan tinggal lebih masa pada 2013 dan tiada rekod kemasukan dia ke Malaysia seperti didakwa keluarganya dia masuk ke negara ini 31 Ogos lalu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen ( IPK) Selangor hari ini.

Mengulas lanjut, Noor Azam berkata, pihak polis kini sedang mengesan isteri Vijayaratnam dikenali G Moganambal, 35, yang dipercayai hilang pada hari sama.

Beliau berkata, wanita tempatan itu beralamat di Taman Bayu Permai, Rawang dan sehingga kini dia masih gagal dikesan pihak berkuasa.

“Polis juga menafikan dakwaan keluarga yang mendakwa Moganambal berada di dalam kereta terbabit ketika insiden tembak menembak itu.

“Polis juga sedang menyiasat dakwaan yang menyatakan suami isteri ini pemegang pemastautin tetap (PR) United Kingdom,” katanya.

Dalam pada itu, Noor Azam berkata, pihaknya bersedia berjumpa dengan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) yang menerima aduan daripada keluarganya dalam insiden berkenaan.

Berita berkaitan

Keluarga si mati lapor SUHAKAM

Tiada wanita atau orang keempat - Polis Selangor

3 penyamun maut berbalas tembakan

Disiarkan pada: September 18, 2019 @ 7:03pm
d