mutakhir

Pelajar melecur terkena asid sitrik

Oleh Ramli Ibrahim

PELAJAR tingkatan lima Maahad Muhammadi, Gua Musang melecur di paha kiri selepas terkena tumpahan asid sitrik di makmal sekolah itu hari ini.

Dalam kejadian 2 petang itu, pelajar lelaki berkenaan terpaksa dikejarkan ke Hospital Gua Musang (HGM) untuk menerima rawatan dan keadaannya dilaporkan stabil.

Tiga guru dan lima pelajar turut dikejarkan ke hospital sama selepas dilaporkan terhidu asid terbabit.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Arifuddin Akif Mohd Noor berkata, pihaknya menerima panggilan pada 2.16 petang sebelum lapan anggota bergegas ke lokasi kejadian.

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi kejadian didapati mangsa sudah berada di luar makmal terbabit.

“Mangsa yang cedera dan terhidu asid itu dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Kami membantu menyahcemar gas toksid yang melekat pada pakaian pelajar lain,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, sebaik pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) dari Kota Bharu tiba, operasi pembersihan dijalankan,

“Kita mengambil masa selama tiga jam untuk membersihkan sepenuhnya makmal terbabit dan punca kejadian itu masih dalam siasatan,” katanya.

Disiarkan pada: September 18, 2019 @ 7:16pm
d