mutakhir

Sekolah, tadika 4 negeri diarah tutup dua hari

Oleh Petah Wazzan Iskandar

SEMUA sekolah dan tadika di Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor dan Pulau Pinang akan ditutup selama dua hari iaitu Khamis dan Jumaat berikutan jerebu.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, bagi institusi pengajian tinggi pula, pihak pengurusan mereka mempunyai hak keputusan untuk menutup atau tidak.

Beliau berkata, sepanjang penutupan terbabit, guru mempunyai hak bekerja dari rumah manakala pengetua dan guru besar hendaklah memastikan perkara ini dibuat mengambil kira kebajikan keluarga mereka.

“Pengetua dan guru besar boleh mengumumkan penutupan sekolah sekiranya pada pandangan beliau keadaan jerebu semakin teruk berdasarkan trend bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada hari itu dan keputusan harus diberitahu kepada Pejabat Pendidikan Daerah dan Jabatan Pendidikan Negeri.

“Bagi sekolah diumumkan tutup dan selepas pelajar serta murid berada di sekolah, mereka masih boleh berada di sekolah dan Pembelajaran dan Pengajaran akan berjalan seperti biasa sehingga tamat tempoh persekolahan kecuali terdapat waris mahu membawa pulang anak mereka, mereka dibenarkan pulang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pada majlis ramah mesra Pasukan Malaysia Warrior dan Malaysia Tiger di pejabatnya di Putrajaya, hari ini.

Maszlee berkata, pelajar dan guru diingatkan supaya sentiasa mengutamakan kesihatan, minum air secukupnya dan kurangkan aktiviti di luar.

Disiarkan pada: September 18, 2019 @ 7:41pm
d