mutakhir

Cubaan seludup dadah gagal

Oleh Samadi Ahmad

DUA lelaki yang disyaki terbabit dalam penyeludupan syabu ditahan polis dalam dua pemeriksaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan klia2, Sepang membabitkan nilai dadah kira-kira RM360,000 pada Isnin dan Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah KLIA Asisten Komisioner Zulkifli Adamshah berkata, kes pertama membabitkan seorang lelaki berusia 34 tahun dari Sandakan, Sabah dan bekerja sebagai pemandu bas ditahan pada 1.35 petang di klia2.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati dadah jenis syabu seberat satu kilogram (kg) disembunyikan dalam kasut dan seluar dalam dipercayai untuk dihantar ke Surabaya, Indonesia.

“Kes kedua pula membabitkan seorang suspek berasal dari Sarawak berusia 46 tahun yang bekerja sebagai mekanik ditahan pada 5.20 petang di KLIA.

“Hasil pemeriksaan mendapati dadah jenis syabu seberat 5.08 kg disorokkan dalam lima kotak makanan ringan untuk dibawa ke Bintulu, Sarawak,” katanya ketika sidang media hari ini.

Berikutan itu, beliau berkata, kedua-dua suspek disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Mengenai kes pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang ditahan bersama seorang wanita selepas dipercayai terbabit dalam kegiatan membawa keluar dan masuk warga asing ke negara ini, Zulkifli berkata, kedua-dua suspek direman sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan.

Menurutnya, setakat ini polis belum dapat membuat pengesahan sama ada pasport dan kad pengenalan ditemui tulen atau palsu sehingga mendapat pengesahan dari JIM dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Beliau berkata, sekiranya kegiatan pemalsuan pasport itu didalangi oleh sebuah sindiket berkemungkinan lebih ramai akan terbabit dan disiasat dalam kes itu.

Disiarkan pada: September 18, 2019 @ 9:09pm
d