mutakhir

RM1.09 juta barang tiruan dilupuskan [METROTV]

Oleh Amin Jalil

PELBAGAI barangan tiruan bernilai RM1.09 juta dilupuskan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) hari ini.

Program Pelupusan Barang Rampasan itu disempurnakan Timbalan Pengarah Penguat kuasa KPDNHEP Rosli Ahmad di Kompleks Penyimpanan Bahagian Penguat kuasa KPDNHEP di Nilai hari ini.

Rosli berkata, pelupusan barang itu membabitkan 33 kes sitaan dilakukan KPDNHEP mengikut Akta Perihal Dagangan 2011 bagi pelupusan ekshibit siri keenam.

“Barangan yang dilupuskan membabitkan beg tangan, beg galas, dompet, kasut, aksesori telefon, toner, katrij dan arak.

“Semua barangan yang dilupuskan adalah hasil rampasan ke atas pelanggaran kesalahan mengikut Akta Perihal Dagangan 2011.

“Ini pelupusan kali keenam tahun ini selepas menerima arahan daripada pihak mahkamah dan pengawal perihal dagangan,” katanya.

Beliau berkata, dari Januari hingga September ini, nilai rampasan pelbagai barangan dianggarkan lebih RM4.1 juta membabitkan 184 kes.

Katanya, rampasan terbesar adalah yang keempat dengan nilai RM1.7 juta.

Rosli berkata, semua barangan itu dirampas di Lembah Klang.

Beliau berkata, semua kes terbabit sudah diselesaikan sama ada dikenakan kompaun atau diselesaikan di mahkamah.

“Pelaksanaan pelupusan ini bertujuan membasmi aktiviti penjualan dan penggunaan barang tiruan dan kita sentiasa komited membanteras masalah ini,” katanya.

Disiarkan pada: September 18, 2019 @ 9:41pm
d