mutakhir

Dua penghuni melecur pangsapuri terbakar

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

DUA warga India melecur pada bahagian kaki selepas rumah didiami mereka terbakar di Pangsapuri Taman Miharja, Cheras hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Kuala Lumpur berkata, kedua-dua mangsa adalah lelaki berusia 20 tahun dan wanita berusia 32 tahun yang dipercayai ada hubungan keluarga.

“Bomba menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS999 pada 8.11 malam sebelum 46 anggota, enam jentera dan sebuah kenderaan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dari Balai Bomba dan Penyelamat Pudu, Hang Tuah, Bandar Tun Razak dan Cheras dikejarkan ke lokasi.

“Kita dapati berlaku kebakaran di tingkat 10 membabitkan sebuah bilik yang terbakar sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, kebakaran itu dapat dikawal pada 8.30 malam dan api dipadamkan sepenuhnya pada 8.47 malam.

“Kebakaran itu menyebabkan kedua-dua mangsa yang berada di unit terbabit melecur pada kaki.

“Kedua-dua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan,” katanya.

Katanya, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Disiarkan pada: September 19, 2019 @ 12:13am
d