mutakhir

Masjid, surau di Selangor solat hajat esok

Oleh Siraj Mohd Zaini

SEMUA masjid dan surau diminta untuk mengadakan solat hajat sejurus selesai solat Jumaat esok bagi memohon pertolongan Allah SWT agar menurunkan hujan bagi mengurangkan masalah jerebu di negeri ini.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Mohd Shahzihan Ahmad berkata, pelaksanaan solat hajat itu juga diharapkan dapat diteruskan di semua masjid dan surau pada waktu bersesuaian sehingga keadaan jerebu ini pulih sepenuhnya.

“JAIS mengarahkan semua masjid dan surau yang diberi kebenaran solat Jumaat untuk mengadakan solat hajat pada esok sebaik selesai menunaikan solat Jumaat.

“Ia berikutan kualiti Indeks Pencemaran Udara (IPU) di negara ini khasnya di Selangor mencatatkan bacaan yang semakin buruk dan boleh memberi kesan kepada kesihatan dan menghadkan aktiviti harian masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Berdasarkan portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) sehingga 2 petang ini, IPU di Selangor khususnya di Johan Setia merekodkan bacaan tidak sihat iaitu 166, diikuti Petaling Jaya (157), Shah Alam (147), Banting (142), Klang (130) dan Kuala Selangor (115).

Bacaan berkenaan direkodkan menurun berbanding semalam yang menunjukkan beberapa kawasan di negeri ini berada pada paras sangat tidak sihat.

Lagi berita berkaitan Ancaman Jerebu

Disiarkan pada: September 19, 2019 @ 3:18pm
d