mutakhir

Musibah jerebu peringatan Allah - Mufti Selangor [METROTV]

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus

MUSIBAH jerebu melanda ketika ini adalah peringatan Allah SWT kepada manusia terhadap segala kerosakan mereka lakukan di atas muka bumi.

Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid berkata, apa jua musibah menimpa, ia berlaku dengan kehendak Allah SWT dengan tujuan untuk mengingatkan hambaNya.

Beliau berkata, Allah berfirman di dalam surah ar-Rum, ayat 41 yang bermaksud: “Telah timbul pelbagai kerosakan dan bala bencana di daratan dan di lautan dengan sebab apa yang telah dilakukan tangan manusia; kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian daripada balasan perbuatan buruk mereka, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).”

“Disebabkan kerakusan tangan-tangan manusia yang melakukan kerosakan, ia mengundang bencana kepada kehidupan.

“Sebagai contoh, ada yang membakar sesuatu kawasan untuk tujuan pembangunan atau penanaman tanaman baharu.

“Jadi apa yang berlaku hari ini (jerebu) tidak kira sama ada di negara kita atau negara jiran, ia tetap dikira sebagai musibah atau ujian dan kita sebagai hamba perlu bersabar dan berikhtiar untuk memohon pertolongan daripada Ilahi,” katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Mohd Tamyes berkata, sebagai ikhtiar umat Islam perlu berdoa kepada Allah SWT untuk memohon perlindungan dan meminta supaya musibah jerebu tidak berpanjangan.

Beliau berkata, umat Islam di seluruh negara boleh melakukan solat Istisqa’ untuk memohon diturunkan hujan bagi membantu memulihkan kembali udara tercemar.

“Di Selangor, pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengarahkan semua masjid dan surau (kebenaran solat Jumaat) supaya mengadakan solat hajat selepas selesai solat Jumaat esok bagi memohon pertolongan Allah untuk menurunkan hujan.

“Selain itu, JAIS turut mengesyorkan supaya solat hajat itu dapat diteruskan di semua masjid dan surau pada waktu bersesuaian sehingga keadaan jerebu kembali pulih sepenuhnya,” katanya.

Sementara itu, Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berpendapat, musibah sama ada jerebu, banjir atau kemarau adalah isyarat daripada Allah SWT supaya manusia lebih prihatin dalam menjaga alam sekitar.

Beliau berkata, ini kerana manusia adalah sebahagian daripada alam sekitar dan tidak seharusnya ‘bermusuh’ dengannya.

Katanya, jika manusia bermusuh dengan alam sekitar, ia akan bertindak balas.

“Jerebu yang berlaku hari ini adalah tanda alam sekitar bertindak balas di atas tindakan dilakukan manusia selama ini.

“Kita perlu menghargai udara dan oksigen yang Allah beri dan pokok adalah kilang oksigen untuk membekalkan oksigen kepada manusia.

“Jadi, apapun, musibah yang kita lalui ketika ini adalah peringatan supaya lebih menghargai dan menjaga alam sekitar,” katanya.

Sementara itu, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri turut menyarankan supaya bacaan doa khas dilakukan ketika khutbah solat Jumaat, esok, sebagai usaha untuk mengatasi masalah jerebu di negara ini.

Selain itu, beliau berkata, khatib diminta berpesan kepada sidang jemaah supaya bertakwa, banyakkan beribadat, bermunajat, berdoa kepada Allah SWT, bertaubat dan beristighfar serta berniat untuk mengadakan solat Istisqa’ pada hari Isnin secara berjemaah.

“Dicadangkan supaya melakukan solat Istisqa’ pada 9 pagi Isnin di masjid utama.

“Semoga usaha seperti ini menatijahkan hujan yang akhirnya membantu menyelesaikan jerebu,” katanya dalam kenyataannya menerusi Bayan Linnas, =Isu Jerebu dan Penyelesaiannya, hari ini.

Beliau turut mengucapkan jutaan terima kasih kepada kerajaan dan pihak berkuasa di atas usaha dan ikhtiar dilakukan seperti pembenihan awan dan memberi maklumat semasa ke semasa kepada masyarakat.

Lagi berita berkaitan Ancaman Jerebu

Disiarkan pada: September 19, 2019 @ 5:12pm
d