mutakhir

Jerebu dah tak teruk sangat...

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus

TIADA lokasi di semenanjung yang merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap sangat tidak sihat sehingga 5 petang hari ini.

Ia menunjukkan perkembangan positif berbanding semalam yang mana 10 lokasi di Semenanjung iaitu Kulim Hi Tech, Minden, Balik Pulau, Taiping, Putrajaya, Petaling Jaya, Shah Alam, Klang, Johan Setia Klang dan Nilai merekodkan bacaan IPU sangat tidak sihat pada 4 petang.

Namun, enam lokasi di Sarawak iaitu Sibu, Sarikei, Sri Aman, Samarahan, Mukah dan Kuching masih merekodkan bacaan IPU sangat tidak sihat antara 201 hingga 300.

Berdasarkan data di laman Web Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), Sibu mencatatkan bacaan IPU 247, Sarikei (238), Sri Aman (210), Samarahan (220), Mukah (205) manakala Kuching (266).

Sementara itu 33 lokasi lain termasuk Putrajaya merekodkan bacaan IPU tidak sihat antara 101 hingga 200.

Bacaan IPU terkini Putrajaya adalah 143 manakala kawasan Johan Setia Klang turut merekodkan tahap kualiti udara yang lebih baik iaitu 168 berbanding 260 (sangat tidak sihat) pada 4 petang semalam.

Lokasi lain yang merekodkan kualiti udara tidak sihat sehingga 5 petang tadi adalah Cheras, Batu Muda, Kuala Selangor, Petaling Jaya, Shah Alam, Klang, Banting,Nilai, Seremban, Port Dickson, Alor Gajah, Bukit Rambai, Bandaraya Melaka, Segamat, Batu Pahat, Kluang, Larkin, Tangkak, Kemaman, Paka dan Kuala Terengganu.

Selain itu, bacaan IPU di stesen Sungai Petani, Seberang Jaya, Minden, Balik Pulau, Tasek Ipoh, Pegoh Ipoh, ILP Miri, Miri, Samalaju dan Bintulu juga mencatatkan kualiti udara tidak sihat sehingga 5 petang tadi.

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategori sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 ke 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (bahaya).

Maklumat terkini mengenai bacaan IPU semasa boleh didapati di http://apims.doe.gov.my atau aplikasi MyIPU.

Lagi berita berkaitan Ancaman Jerebu

Disiarkan pada: September 19, 2019 @ 5:26pm
d