mutakhir

Budak cedera digigit kera

Oleh Siti Rohana Idris

KANAK-KANAK perempuan berusia tujuh tahun cedera di beberapa bahagian badan akibat digigit seekor kera dalam kejadian di Kampung Padang Mandor, Tumpat, semalam.

Kejadian berlaku pada 6.50 petang ketika mangsa, Nor Damia Maisara Muhamad Yaki bersama adiknya, Nur Zara Fatia, 6, berjalan-jalan di sekitar rumahnya.

Nor Damia berkata, sebelum kejadian dia yang berlari-lari bersama adiknya tidak menyedari berada berhampiran seekor kera jantan diikat di sebatang pokok.

“Mungkin disebabkan terkejut, kera itu tiba-tiba berlari menerkam saya yang berada di belakang adik sebelum menggigit betis kanan.

“Saya segera menjerit meminta tolong sambil cuba melepaskan diri dan menarik kera itu daripada betis sebelum melemparnya.

“Bagaimanapun, haiwan itu semakin agresif dan sekali lagi menerkam saya dengan menggigit lengan kanan sebelum beralih ke kiri dan bahagian kepala menyebabkan saya rebah,” katanya ketika ditemui di Wad Anggerik, Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu, hari ini.

Damia berkata, dalam kesakitan dia terus menepis serangan daripada haiwan itu sebelum terlepas, lalu segera berlari untuk menyelamatkan diri.

Katanya, Nur Zara yang ketakutan melihat keadaannya berlumuran darah segera berlari ke rumah untuk memberitahu bapa mereka.

Damia baru selesai menjalani pembedahan bagi menjahit kecederaan di bahagian lengan kanannya yang agak dalam.

Bapanya, Muhamad Yaki Ariffin, 35, berkata dia berada berhampiran lokasi kejadian sebelum terdengar suara anaknya menjerit meminta tolong dan segera mendapatkan mangsa yang sudah terbaring dan kelihatan lemah.

“Saya mengangkat Damia dan terus dibawa ke Hospital Tumpat sebelum dirujuk ke HRPZ II kerana keadaan lukanya agak dalam.

“Laporan sudah dibuat kepada pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) untuk tindakan lanjut,” katanya.

Disiarkan pada: September 19, 2019 @ 6:48pm
d