mutakhir

Dahan tusuk paha guru

Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

ROMBONGAN guru dan pelajar ke Bukit Fraser, bertukar ngeri apabila bas membawa mereka terbabit kemalangan.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari di Jalan Gap, Bukit Fraser Raub, hari ini, menyebabkan seorang guru berusia 51 tahun parah.

Jurucakap Ibu Pejabat Polis Daerah Raub, ketika dihubungi, berkata kejadian dipercayai berlaku apabila bas pelancong membawa rombongan 44 pelajar dan guru melanggar dahan kayu sebelum tertusuk ke cermin hadapan bas.

Katanya, tusukan kayu itu kemudian mengenai paha kiri guru terbabit sebelum pemandu bas memberhentikan kenderaan.

“Guru dikenali sebagai Tan Boon Kiew kemudian dikejarkan ke Hospital Raub bagi mendapatkan rawatan selepas tulang paha kirinya disahkan patah.

“Pelajar dan guru lain yang berada di dalam bas tidak mengalami kecederaan,” katanya.

Difahamkan, mangsa berasal dari Tampin, Negeri Sembilan, membawa rombongan pelajar sekolah di Pulau Sebang, Melaka ke Bukit Fraser sebelum bas dinaiki terbabit dalam insiden itu.

Mangsa dilaporkan stabil dan keterangan pemandu bas akan diambil bagi membantu siasatan.

Disiarkan pada: September 19, 2019 @ 6:51pm
d