mutakhir

UniSZA dan UMT mengadap Sultan Terengganu

Oleh Noor Atiqah Sulaiman

PENGURUSAN tertinggi Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mengadap Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin hari ini bagi mendapatkan pandangan mengenai cadangan penggabungan kedua universiti berkenaan.

Naib Canselor UniSZA Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan berkata, beliau bersama Naib Canselor UMT Datuk Dr Nor Aieni Mokhtar sudah mengemukakan beberapa fakta secara menyeluruh berkaitan universiti masing-masing.

“Pertemuan singkat itu berjalan dengan lancar dan kami juga sudah berikan fakta secara menyeluruh sama ada di peringkat universiti mahu pun kementerian,” katanya selepas menghadiri majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara UniSZA dan Institut Penyelidikan Alam Sekitar Pantai Timur (CEPR) di UniSZA Putrajaya hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Panel Penasihat CEPR Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Hassan Basri berkata, pihak UniSZA sangat neutral dalam isu penggabungan berkenaan dan akan menerima segala kemungkinan asalkan ia memberi impak positif kepada kedua-dua universiti.

“Kita boleh bergabung sekiranya penggabungan itu memberi lonjakan kepada kedua-dua universiti. Lonjakan berkenaan termasuklah dari segi graduan, pencapaian serta nisbah pekerja graduan.

“Sekiranya penggabungan itu akan menurunkan prestasi kedua-dua universiti, lebih baik tidak perlu bergabung.

“Apa pun, kita akan lihat dulu dari pelbagai sudut serta akan menilai hal ini secara bebas. Apa juga keputusan akan berdasarkan kajian yang dilakukan ini.

“Bukannya akan terus bergabung tanpa melihat keperluannya. Difahamkan kajian menyeluruh penggabungan ini akan dilakukan dalam tempoh enam bulan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, penggabungan dua universiti itu tidak boleh disamakan dengan penggabungan bank kerana salah satu akan lenyap.

“Kita kena faham, penggabungan universiti tidak sama dengan bank tetapi jika universiti pula, kedua-duanya akan kekal kerana kita masih mempunyai penuntut di universiti berkenaan,” katanya.

Sebelum ini dilaporkan, Kabinet pada 4 September lalu bersetuju pada dasarnya terhadap langkah penggabungan itu yang akan mengukuhkan keupayaan kedua-dua universiti sejajar dengan 10 lonjakan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi).

Kementerian Pendidikan amat positif dengan cadangan penggabungan itu dan kini sedang menyediakan kerangka bagi pelaksanaannya.

Sebuah jawatankuasa khas sedang dibentuk yang dianggotai oleh wakil daripada kalangan pegawai pentadbir, pensyarah, penuntut serta wakil daripada pelbagai agensi dan kementerian serta pihak berkepentingan bagi menggerakkan penggabungan ini yang dijangka mengambil masa enam bulan.

Terdahulu dalam majlis berkenaan, UniSZA menandatangani MoU dengan CEPR bagi membangunkan produk berasaskan pati minyak gelam yang dikatakan boleh menyembuhkan luka, jerawat, mencantikkan kulit, melegakan sakit urat serta migrain.

Berita berkaitan:

  • UMT dan UniSZA bakal bergabung
  • MPP UMT, UniSZA tolak cadangan penggabungan
  • Disiarkan pada: September 19, 2019 @ 6:55pm
    d