mutakhir

OPA di Sarawak bermula esok

Oleh BERNAMA

OPERASI pembenihan awan di Sarawak akan dilakukan selama dua hari bermula esok menggunakan pesawat C-130 Hercules milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Timbalan Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Sarawak, Siniarovina Urban Sinyaw berkata, awal pagi esok bancuhan air garam akan dilarutkan ke dalam tangki khas sebelum proses pembenihan awan menggunakan kaedah semburan.

“Pesawat akan berlepas dari Pangkalan TUDM Kuching ke lokasi di mana terdapat kesesuaian awan untuk OPA,” katanya.

Beliau berkata, halangan utama kepada proses itu adalah mencari awan bersesuaian.

“Justeru, sebelum operasi pembenihan dilakukan, pihak MetMalaysia akan menjalankan analisis data pencerapan seperti radar, satelit dan juga model cuaca bagi menentukan keadaan cuaca semasa yang sesuai untuk OPA,” katanya.

Setakat jam 8 malam tadi, lima kawasan di negeri ini masih mencatat bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) sangat tidak sihat dengan Kuching mencatat bacaan tertinggi pada 264, diikuti Sibu (245), Sarikei (240), Samarahan (221) dan Sri Aman (208).

Manakala tiga lagi mencatat bacaan IPU tidak sihat iaitu Mukah (193), Bintulu (140) dan Samalaju (128).

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya.

Disiarkan pada: September 19, 2019 @ 10:42pm
d