mutakhir

Wawasan Kemakmuran Bersama asas Belanjawan 2020

Oleh Nabil Basaruddin

KEMENTERIAN Pembangunan Usahawan (MED) melihat pembentangan Belanjawan 2020 pada Oktober depan bakal berlandaskan kepada Wawasan Kemakmuran Bersama 2021-2030.

Wawasan diumumkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada minggu lalu itu akan memberi fokus kepada merapatkan jurang pendapatan antara negeri, golongan kaya dengan miskin serta bandar dan luar bandar.

Menterinya, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata, sekiranya kerajaan mahu meningkatkan kuasa beli dalam kalangan rakyat berpendapatan rendah, belanjawan negara perlu berlandaskan wawasan ini.

“Bagi memastikan Malaysia menjadi negara industri dan maju, ia juga adalah misi MED memastikan cita-cita ini dapat dilaksana dan tercapai.

“Jadi dalam hal seperti ini, amat penting bagi MED sebagai kementerian yang menyelaras program keusahawan untuk merealisasikan wawasan untuk kemakmuran bersama,” katanya ketika ditemui pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Kepimpinan di Petaling Jaya, hari ini.

Majlis anugerah itu turut dihadiri usahawan, perniagaan dan pemimpin industri dari seluruh rantau Asia yang mempunyai pencapaian luar biasa dalam industri masing-masing.

Penganjuran majlis itu juga sebagai platform memperkasakan kehadiran golongan usahawan tempatan sebagai satu jenama popular di peringkat antarabangsa.

Terdahulu dalam ucapannya, Mohd Redzuan berkata, dalam mewujudkan budaya keusahawanan dalam kalangan rakyat negara ini, pihak kementeriannya mengambil inisiatif memperkenalkan Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN 2030).

Menurutnya, ia adalah sebagai dasar yang akan memberi tumpuan dan penekanan khusus untuk mewujudkan ekosistem keusahawanan yang mampan bagi menyokong pelbagai agenda pembangunan ekonomi.

“Menerusi sasaran untuk menjadi negara keusahawanan menjelang 2030, kami juga berharap ia dapat melahirkan golongan usahawan berdaya saing dan berdaya maju dalam pasaran.

“Kami berharap melalui dasar ini, ia mampu meningkatkan kemampuan dan kemahiran usahawan Malaysia khususnya dari sektor industri kecil dan sederhana,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Belanjawan 2020
  • Disiarkan pada: September 19, 2019 @ 11:20pm
    d