mutakhir

Lima dituduh membunuh

Oleh Muhamaad Razis Ismail

LIMA rakan termasuk remaja berusia 17 tahun dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini semalam terhadap tuduhan membunuh seorang lelaki, awal bulan ini.

Tertuduh Mohd Nur Firdaus Zulkipli, 25, Wan Mohamad Adzim Syazwan Wan Bakar, 23, Sahrulnizan Ismail, 20, Muhammad Rusyaidi Sharin, 21, dan remaja berusia 17 tahun hanya mengangguk faham terhadap tuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohd Dinie Shazwan Ab Shukor.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan. Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa bersama-sama membunuh Mohd Aiman Suaidi Samsudin, 26, di Sungai Kampung Puyu, Cherang Ruku pada jam 5 pagi hingga jam 8 pagi pada 2 September 2019.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Asma’a Che Omar manakala hanya remaja berusia 17 tahun sahaja diwakili peguam Aminudin Mohamad.

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 31 Oktober depan untuk sebutan semula kes.

Harian Metro sebelum ini melaporkan mayat lelaki dengan kesan terbakar ditemui terapung dalam anak sungai berdekatan jambatan Kampung Puyu, Jalan Semerak.

Mayat ditemui penduduk kampung dipercayai meninggal dunia beberapa hari lalu berdasarkan keadaan mayat yang sudah membengkak.

Disiarkan pada: September 20, 2019 @ 5:15am
d