mutakhir

'Doktor tular' diarah jalani pemeriksaan psikiatri [METROTV]

Oleh Siraj Mohd Zaini

DOKTOR perubatan yang mencederakan bekas isteri serta bapa mentuanya sehingga kejadian itu tular di media sosial, 4 September lalu, diarahkan menjalani pemeriksaan psikiatri di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak, selama sebulan.

Perintah itu dikeluarkan Hakim Mahkamah Sesyen Shah Alam, Mohd Sabri Ismail terhadap tertuduh, Syed Ariff Syed Abdul Rahman, 34, mengikut Seksyen 342 Kanun Prosedur Jenayah.

Terdahulu, tertuduh membuat pengakuan tidak bersalah ke atas dua pertuduhan yang dihadapinya di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret, di Shah Alam, hari ini.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan di bahagian kiri atas kepala bekas isterinya, Siti Nur Hidayah Abd Rahim, 34, dengan menggunakan telefon bimbit.

Perbuatan itu dilakukan di hadapan sebuah premis di Jalan Utarid U5/24, di Shah Alam, jam 12.15 tengah hari, 4 September lalu.

Berikutan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan.

Bagi kesalahan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan, tertuduh boleh dikenakan penjara sehingga 20 tahun dan sebatan serta denda.

Seksyen 326A Kanun Keseksaan pula memperuntukkan hukuman penjara dua kali ganda tempoh maksimum yang dikenakan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Bagi pertuduhan kedua di hadapan Majistret Sabreena Bakar@Bahari, tertuduh didakwa mendatangkan kecederaan kepada Abd Rahim Hashim, 65, di bahagian dahi pada tarikh dan lokasi sama.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga setahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Aifaa Che Abdullah, manakala tertuduh diwakili peguam Adenan Ismail.

Di dalam prosiding di Mahkamah Sesyen, Nur Aifaa memohon agar tertuduh menjalani pemeriksaan psikiatri di Hospital Bahagia Ulu Kinta selama sebulan.

Adenan juga menyatakan tertuduh sedang mengikuti rawatan psikiatri di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), sejak 2014.

Mahkamah Majistret kemudiannya membenarkan kes dipindahkan ke Mahkamah Sesyen untuk disebut semula pada 18 Oktober depan.

Disiarkan pada: September 20, 2019 @ 11:59am
d