mutakhir

RM850,000 barang tiruan dilupuskan [METROTV]

Oleh Khairul Najib Asarulah Khan

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kuala Lumpur melupuskan barangan tiruan bernilai RM850,000, hari ini.

Ketua Penguat Kuasa KPDNHEP Kuala Lumpur Azeem Nazuri berkata, barangan tiruan yang dilupuskan itu membabitkan 42 kes di bawah Akta Perihal Dagangan 2011.

Katanya, antara barangan itu adalah tali pinggang, selipar, kasut, minyak pelincir, produk kosmetik, minuman keras, beg tangan dan telefon pintar.

“Pelupusan ini dilaksanakan selepas kita mendapat arahan daripada mahkamah dan pengawal perihal dagangan.

“Kebanyakan barangan tiruan ini dirampas di pasar malam dan premis perniagaan di sekitar ibu kota,” katanya kepada pemberita semasa sidang media di Stor KPDNHEP Kuala Lumpur di Kompleks Sentral 33, Jalan Segambut Atas, Kuala Lumpur, hari ini.

Dalam pada itu, Azeem berkata, sejak awal tahun hingga kini pihaknya merekodkan 96 kes dengan rampasan 70,390 pelbagai barangan tiruan dengan nilai sitaan RM2.46 juta.

“Ia membabitkan barangan seluar, baju, tali pinggang, dompet, beg tangan, bagasi, cermin mata dan jam tangan.

“Kita menasihatkan individu atau syarikat supaya tidak menjual barangan tiruan disebabkan ia melanggar hak harta intelek,” katanya.

Disiarkan pada: September 20, 2019 @ 2:45pm
d