mutakhir

Tak sampai sejam

Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop

DUA lelaki ditahan tidak sampai sejam selepas mereka menyamun kedai serbaneka 24 jam di Jelapang, Ipoh, hari ini.

Difahamkan, polis menerima laporan berlakunya kejadian samun itu 5.30 pagi sebelum mengadakan Ops Tutup dan berjaya menahan kedua-dua suspek berusia 19 dan 20 tahun di tepi Jalan Lahat, di sini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Mohd Nordin Abdullah berkata, kedua-dua suspek diberkas 6 pagi.

“Menerusi maklumat awam dan kepantasan pegawai serta anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, kedua-dua suspek yang dipercayai terbabit dalam kejadian itu berjaya diberkas.

“Polis turut merampas dua parang dipercayai digunakan mereka untuk menyamun serta wang tunai berjumlah RM135 daripada kedua-dua suspek,” katanya dalam kenyataannya di sini, hari ini.

Mohd Nordin berkata, pihaknya yakin dengan tertangkapnya kedua-dua suspek itu berjaya menyelesaikan beberapa kes samun di daerah ini dan siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

Katanya, pihaknya mengucapkan terima kasih kepada orang awam yang memberikan maklumat sehingga tertangkapnya kedua-dua suspek terbabit.

Disiarkan pada: September 20, 2019 @ 4:09pm
d