mutakhir

Dipukul penceroboh rumah

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

PENIAGA lebam di badan selepas dipukul dengan kayu oleh dua lelaki bersenjatakan parang yang menceroboh kediamannya di Taman Supreme, Cheras sebelum menyamun wang tunai dan telefon bimbit pada Selasa lalu.

Dalam kejadian 11.30 malam itu, lelaki berusia 53 tahun yang sedang berehat di rumahnya bersama keluarga terdengar pintu dipecahkan.

Menurut sumber, mangsa kemudiannya bergegas ke tingkat bawah sebelum melihat dua lelaki datang ke arahnya dan terus memukul dengan kayu.

“Mereka kemudian terus masuk ke dalam bilik tidur dan mengambil wang tunai RM2,000 dan tiga unit telefon bimbit.

“Selepas mengambil barangan berharga itu, suspek kemudiannya terus melarikan diri,” katanya.

Sumber berkata, akibat kejadian itu mangsa yang cedera kemudiannya tampil membuat laporan di Balai Polis Cheras untuk tindakan selanjutnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

“Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengesan suspek,” katanya.

Disiarkan pada: September 20, 2019 @ 4:49pm
d