mutakhir

Lelaki Myanmar didakwa bunuh rakan [METROTV]

Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop

LELAKI Myanmar didakwa di Mahkamah Majistret Batu Gajah, hari ini atas pertuduhan membunuh rakan senegaranya, 2 September lalu.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh Soo Weng Lai, 32, di hadapan Majistret Nazratul Natrah Mohd Yusof.

Dia didakwa melakukan pembunuhan ke atas warga Myanmar, Phyoe Phyoe, 22, di rumah No 9A, Tingkat Laluan Sri Pengkalan, Batu Gajah pada 2 September 2019.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Nor Fairoz Abd Mutalib, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 14 November depan untuk melantik jurubahasa berikutan tertuduh tidak memahami bahasa Melayu mahupun Inggeris.

Harian Metro pada 3 September lalu melaporkan, lelaki Myanmar ditemui mati dengan kesan tikaman di dada kiri dipercayai dilakukan rakan sebiliknya di sebuah rumah di Batu Gajah.

Difahamkan, mangsa yang bekerja di sebuah kedai perabot bertengkar dengan suspek yang juga rakan sebiliknya dan pergaduhan itu didengari orang awam.

Berita berkaitan:

  • Lelaki Myanmar bunuh rakan dalam buruan
  • Disiarkan pada: September 20, 2019 @ 5:42pm
    d