mutakhir

Kerja 18 jam sehari agih air

Oleh Rizanizam Abdul Hamid

pix/video Zuhairi Zuber

Melaka: “Walaupun terpaksa bekerja 18 jam sehari,rasa letih itu hilang bila dapat membantu orang dalam kesusahan mendapatkan bekalan air bersih,” kata Zainuddin Mahasan, 44.

Pemandu lori tangki air syarikat Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) itu adalah antara kakitangan syarikat luar Melaka yang terpaksa ‘berkampung’ di negeri bagi membanturibuan penduduk di negeri ini mendapatkan bekalan air bersih sejak minggu lalu.

Menurutnya, dia dan rakannya, Nordin Atan, 28, diberi tanggungjawab untuk menghantar air di dua kawasan di Daerah Melaka Tengah iaitu Banda Hilir dan Bukit Baru.

“Rutin kami bermula pada 8 pagi setiap hari dan mula bergerak 9 pagi ke lebih 10 lokasi di kedua-dua kawasan itu untuk membekalkan 8,000 liter air kepada penduduk yang terputus bekalan air.

“Bagaimanapun, sejak beberapa hari lalu, bilangan kawasan terjejas semakin meningkat hampir 20 sehingga terpaksa bekerja sehingga 2 pagi.

“Namun rasa penat itu hilang apabila melihat penduduk terjejas begitu menghargai kedatangan kami untuk membantu mereka,” katanya ketika ditemui NSTP di kawasan Pangsapuri Sri Siantan, Bukit Baru, hari ini.

Bagi Nordin, selain dua kawasan berkenaan, mereka juga akan membantu mengagihkan air ke daerah lain terutamanya membabitkan kawasan perumahan pangsapuri.

“Ada masanya selepas habis mengagihkan air di Bukit Baru dan Banda Hilir mengikut jadual ditetapkan. Kami akan bergerak ke tempat lain yang mungkin terputus bekalan air di saat akhir.

“Memanglah penat, tapi apalah sangat pengorbanan kami jika dibandingan dengan kepayahan yang terpaksa dilalui penduduk,” katanya.

Disiarkan pada: September 20, 2019 @ 6:06pm
d