mutakhir

MyRumah bantu lonjak industri hartanah

Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

PAMERAN Hartanah MyRumah 2019 berpotensi melonjak industri hartanah khususnya di Pahang dan amnya di wilayah Pantai Timur.

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Mohd Johari Hussain berkata, pihaknya yakin dengan tawaran berpatutan dikemukakan pemaju dalam pameran kali ini akan menarik pembeli menjana pelaburan dalam industri itu.

“Kita menyambut baik program ini yang kita lihat mampu memangkin industri hartanah di Pahang dan Pantai Timur.

“Saya yakin dengan strategi berkesan serta harga berpatutan ditawarkan ia akan menarik minat orang ramai untuk mendapatkan rumah idaman mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan pameran hartanah MyRumah 2019 dan sisipan akhbar Harian Metro ‘Pemaju dan Pemilik’ (P&P) di kompleks beli-belah Kuantan City Mall, Kuantan, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Operasi Kumpulan The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP), Datuk Yushaimi Maulud Yahaya; Pengarang Kumpulan Harian Metro, Tuan Mohd Asri Tuan Hussein dan Pengurus Besar Pengiklanan NSTP, Jeanie Leong.

Mohd Johari yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tioman berkata, Kuantan berpotensi menjadi lokasi hartanah strategik terutama rumah kos rendah dan bangunan komersial yang giat dimajukan kerajaan negeri.

Katanya, selain itu pihaknya juga sedang mengenal pasti beberapa kawasan pelancongan strategik seperti Cameron Highlands, Genting Highlands, Pulau Tioman dan Taman Negara untuk memangkin industri perumahan secara kolektif dan inklusfif.

“Kita berpendapat ada beberapa kawasan perumahan di kawasan pelancongan ini yang boleh menjadi daya penarik untuk orang ramai membuat pelaburan, terutama dalam pemilikan rumah kedua.

“Kerajaan negeri sedang kesan potensi itu dan mungkin boleh mengadakan kerjasama dengan pemaju berpengalaman,” katanya.

Pameran hartanah MyRumah 2019 dianjurkan kumpulan NSTP dengan disokong Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan berlangsung bermula hari ini hingga Ahad.

MyRumah 2019 yang julung kali diadakan di negeri ini sejak 2016 dijangka menarik lebih 20,000 pengunjung yang mana menawarkan 1,437 unit perumahan dan komersial dengan nilai pembangunan kasar lebih RM323.6 juta.

Disiarkan pada: September 20, 2019 @ 6:45pm
d