mutakhir

Penumpang tidak senonoh

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

PENUMPANG e-hailing didakwa bersikap biadap apabila melakukan perbuatan tidak senonoh dalam kenderaan Grab di Jalan Alor, Bukit Bintang di Kuala Lumpur pada Isnin lalu.

Dalam kejadian 6 pagi itu, seorang pemandu kenderaan e-hailing yang berada di Jalan Bukit Bintang menerima tempahan daripada seorang wanita untuk mengambilnya di kawasan terbabit.

Dia yang ingin dikenali sebagai Chai, 41, berkata, sebaik tiba di lokasi terbabit ada seorang lelaki warga Syria terus masuk ke tempat duduk penumpang hadapan.

Menurutnya, dia pada mulanya meminta kepastian sama ada lelaki itu adalah pelanggannya atau tidak sebelum dia mengiyakan dan memberi alasan meminta bantuan wanita untuk membuat tempahan.

“Tanpa mengesyaki apa-apa saya terus bergerak tetapi tidak lama kemudian dia bertanya di mana tempat pelacuran menyebabkan saya terkejut dan memberitahu tidak tahu mengenainya.

“Bagaimanapun sebaik tiba di Jalan Hang Tuah tiba-tiba lelaki itu terus membuka seluar dan melakukan aksi tidak senonoh,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, lelaki itu juga cuba menyentuhnya menyebabkan dia yang bimbang terus memandu ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur meminta bantuan.

“Saya kemudiannya terus membuat laporan berhubung kejadian itu sebelum pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi membawa saya dan lelaki itu ke IPD untuk diambil keterangan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohd Fahmi Visuvanathan Abdullah ketika dihubungi hari ini mengesahkan kejadian itu.

Menurutnya, penumpang berusia 25 tahun terbabit sudah ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan (KK), Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1958 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Disiarkan pada: September 20, 2019 @ 7:52pm
d