mutakhir

Orang tak betul rupanya...

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

LELAKI yang mengugut dan menunjukkan isyarat lucah kepada anggota polis di pos pengawal Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Selasa lalu disahkan mengalami masalah mental.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, lelaki berkenaan ditahan polis kelmarin selepas menyerah diri di Pos Pengawal, Bukit Aman.

“Bagaimanapun suspek dibebaskan semalam dengan jaminan polis kerana mengalami masalah mental dan masih mendapat rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

“Polis turut mengeluarkan POL 57 (Butir-butir mengenai orang sakit otak didapati merayau-rayau) bagi mendapatkan rawatan lanjut di HKL,” katanya.

Huzir berkata, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang posting atau berkongsi perkara menyentuh sensitiviti agama, perkauman dan institusi diraja di laman sosial.

Beliau berkata, tindakan tidak bertanggungjawab itu boleh membangkitkan pecah keamanan dalam kalangan rakyat dan menggugat keharmonian serta perpaduan di negara ini.

“Selain itu, orang ramai perlu mematuhi syarat dikeluarkan jabatan kerajaan atau kementerian mengenai tatacara ketika berada di pejabat kerajaan,” katanya.

Terdahulu, video seorang lelaki mengugut dan menunjukkan isyarat lucah di pos kawalan Bukit Aman tular di media sosial sejak Selasa lalu.

Video berdurasi 19 saat itu dirakam anggota polis itu menunjukkan lelaki terbabit menghina dan mengeluarkan kata-kata kesat.

Disiarkan pada: September 20, 2019 @ 10:03pm
d