mutakhir

Waspada 2 lelaki buat tempahan mencurigakan

Oleh Rosli Ilham

POLIS mempergiat usaha memburu dua lelaki dipercayai terbabit dalam kejadian curi wang dan barangan berharga di tiga kedai makan di Dungun.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, kedua-duanya suspek berusia 40-an itu mensasarkan kedai makan dengan berpura-pura membuat tempahan nasi dan minuman.

Beliau berkata, suspek dikesan terbabit dalam tiga kes kecurian di premis kedai makan di Dungun menggunakan modus operandi sama sejak 20 Ogos hingga Isnin lalu.

“Kejadian pertama berlaku pada 20 Ogos apabila pengusaha kedai makan di Sura Hujung kerugian RM3,000 selepas wang miliknya dilarikan dua lelaki pada 9.35 pagi.

“Kemudian ada 1 September, dua suspek sama melarikan wang tunai RM2,500, rantai leher dan gelang tangan milik pengusaha kedai makan di Taman Anjaria, pada 3 petang.

“Manakala kejadian terbaru berlaku Isnin lalu apabila seorang wanita berusia 50 tahun kerugian selepas wang tunai RM3,500 dilarikan suspek dalam kejadian pada 4.20 petang.” katanya.

Mengulas lanjut berhubung modus operandi suspek berkenaan, Baharudin berkata, dua lelaki terbabit akan masuk ke kedai makan dan membuat tempahan makanan dalam jumlah banyak.

Katanya, suspek mendakwa kononnya bekerja sebagai kontraktor yang mendapat kontrak kerja di bandar Dungun dan mahu mencari kedai boleh membekalkan makanan banyak untuk pekerjanya.

“Salah seorang daripada suspek berpura-pura melakukan urusan dengan mangsa untuk tempahan itu, manakala rakan suspek memasuki bahagian dalam kedai dan mencuri wang tunai serta berangan berharga di dalam premis berkenaan sebelum mereka beredar.

“Polis sedang giat memburu kedua-dua suspek ini bagi mengikut Seksyen 379 dan 380 Kanun Keseksaan.

“Pada masa sama, pengusaha kedai makan dinasihatkan supaya berwaspada dan sekiranya didatangi kedua-dua suspek ingin membuat tempahan, mereka perlu menghubungi polis,” katanya.

Berita berkaitan

'Pura-pura tempah 40 bungkus nasi'

Disiarkan pada: September 21, 2019 @ 12:10am
d